Assalamualaikum
Bujang Senang dan Bujang Belum Terlajak
Di hujung tahun sebegini sememangnya para 'bujang senang' mahupun 'bujang belum terlajak' mengambil kesempatan untuk mengadakan hari yang mungkin paling bahagia dalam sejarah hidup iaitu perkahwinan.
Mudah-mudahan dengan harapan sanak saudara dapat menjadi saksi akan pernikahan mereka disamping mengeratkan silaturrahim. Maklum lah masing-masing sibuk, menjadikan sanak saudara jarang bertemu. Setidak-tidaknya setahun sekali di kala hari raya. Itu pun seandainya ada cuti.
Walau bagaimanapun tidak ketinggalan masih ada yang tidak berkesempatan untuk meraikan hari bahagia tersebut dek kerana ketidakcukupan dana yang terkumpul untuk merealisasikannya. Mahu tidaknya sekarang semua barang naik. Kenapa barang naik? Saya tidak mahu jawab. Masing-masing tahu sebabnya. Masih belum terlambat untuk menurunkannya pada masa akan datang.
Kini mahar atau belanja perkahwinan menjadi bualan.
"Anak mak cik Limah tu SPM je, RM10k."
"Anak pak seman pulak RM1k je, murah kan. Tak patut betul ustaz tu."
"Anak saya kawin RM7k, tu pun dekat sepuluh kali minta diskaun."
Macam-macam orang cakap. Macam mahu jual barang. Hukum adat dan sifat berlumba-lumba di kalangan masyarakat hari ini semakin menjadi-jadi. Masing-masing ingin mengumumkan dan mengisytiharkan.






